Pergerakan air banyak dipengaruhi oleh pergerakan bulan yang mempengaruhi pasang dan surut.
Kalau di Pantai Barat, tekong sering merujuk kepada air kerana ia elemen yang penting apabila memancing di sini.
Air merujuk kepada keadaan arus kerana Selat Melaka yang sempit menyebabkan terjadi perbezaan pasang surut yang amat ketara ketika air besar pada paras sehingga 5 meter.
Ia terjadi sama ada ketika bulan purnama (hari 15 bulan Melayu) dan bulan gelap sewaktu muncul anak bulan (hari 1 bulan Melayu). Apabila arus deras, ia akan mengeruhkan air dan menyukarkan ikan menemui umpan yang dilabuhkan.
Malah kehadiran arus melampau seterusnya mudah menghanyutkan ladung kecil. Masalah akan lebih rumit jika ramai pemancing berada dalam satu bot dan arah tali tertumpu pada satu kawasan seterusnya fenomena tali bersimpul sesama sendiri mudah terjadi.
Dalam dunia pancing moden kini, ramai pemancing memilih untuk keluar ketika air besar tetapi tumpuan memancing lebih kepada teknik jigging dan trolling. Dua teknik ini lebih efektif ketika air besar berbanding air mati untuk di Pantai Barat. Ikan dikatakan lebih agresif menyambar umpan ketika air pasang.
Istilah ‘tengok bulan’ sebenarnya lebih kurang sama dengan apa yang diperkatakan oleh nelayan Pantai Barat sebagai ‘tengok air’. Kerana asasnya pengaruh air adalah merujuk kepada peredaran bulan. Fakta menarik ialah sesetengah tekong suka memancing ketika bulan gelap dan ada memilih ketika bulan terang.
Masing-masing ada kelebihan sendiri merujuk kepada spesies ikan yang diburu. Ketika bulan gelap, tumpuan pemancing lebih ketara kerana ketika ini sotong mudah diperolehi dengan memasang cahaya lampu pada bot.
Jika bulan terang, sotong dikatakan berselerak di serata kawasan dan sukar untuk nelayan atau pemancing untuk menarik perhatian sotong. Sotong selain elemen hasil, ia juga adalah umpan terbaik memancing sebelah malam.
Sebab itu ramai menggemari memancing pada bulan gelap berbanding bulan terang kerana faktor di atas. Namun selain faktor air dan bulan, satu lagi aspek penting dalam perancangan trip memancing ialah ramalan cuaca atau keadaan musim yang bakal melanda pada hari perancangan.
Baik mana sekalipun keadaan bulan dan air tetapi jika cuaca tidak mengizinkan maka aktiviti memancing menjadi tidak bermakna.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !